comscore
Tumpuan :
Jenayah

Seorang lelaki ditahan, 13,000 botol arak seludup tidak bercukai bernilai lebih RM500,000 dirampas 

Oleh: Mohd Fareez Azman

SUBANG JAYA: Polis berjaya membongkar aktiviti pengedaran arak seludup tidak bercukai di Petaling Jaya selepas seorang lelaki warga tempatan ditahan dalam serbuan di sebuah rumah pada 15 Mac lalu.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, suspek berusia lingkungan 30-an itu dipercayai bertindak sebagai penjaga stor dan ‘transporter’ sindiket berkenaan.

“Bertindak atas maklumat pengedaran penyeludupan arak lari cukai oleh Pegawai Cawangan Risik Ibu Pejabat Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih mendapati sebuah rumah di Petaling Jaya disyaki menjalankan aktiviti pengedaran dan penyeludupan arak lari cukai.

“Serbuan dijalankan pada 15 Mac lalu jam lebih kurang 4.10 petang oleh sepasukan anggota PGA di rumah tersebut dan berjaya menahan dan menangkap seorang lelaki warga tempatan,” jelasnya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Subang Jaya hari ini.

Turut dirampas dalam serbuan itu, 13,000 botol arak pelbagai jenis dan jenama bernilai lebih RM500,000 disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan.

Susulan itu, satu kertas siastan telah dibuka di bawah Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967 kerana memiliki arak lari cukai.

Orang ramai yang mempunyai maklumat perlakuan jenayah atau sebarang aktiviti yang mencurigakan boleh menyalurkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini