comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Suami bawa isteri jadi ‘transporter’ ganja dicekup

 

SUNGAI PETANI: Kegiatan sepasang suami isteri yang dipercayai menjadi ‘transporter’ dadah jenis ganja dari negara jiran sejak April lalu tumpas apabila mereka ditahan di sebuah rumah di Bandar Seri Astana, di sini kelmarin.

Pasangan berusia 32 tahun itu ditahan ketika sedang berehat di rumah bersama bayi perempuan berusia setahun kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, ketika serbuan polis menemui satu ketulan ganja mampat dalam rumah teres setingkat itu.

“Seterusnya, pemeriksaan lanjut dalam kenderaan bernombor pendaftaran Thailand di rumah berkenaan menemui 50 ketulan ganja mampat.

“Hasil siasatan mendapati, suspek dipercayai memperoleh bekalan ganja itu di negara jiran melalui seorang kenalannya yang juga warga Thailand,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini, hari ini.

Zaidy berkata, suspek dipercayai singgah berehat dahulu di rumah itu sebelum menghantar dadah terbabit ke Perak untuk dipasarkan.

Beliau berkata, suspek dipercayai sudah tiga kali bertindak sebagai ‘transporter’ sejak April lalu, malah pernah membawa isterinya bersama.

“Namun, pada hari serbuan, suspek yang juga pekerja kilang sanggup memandu kenderaan milik rakannya itu untuk membawa dadah terbabit. Dia memandu berseorangan,” katanya.

Zaidy berkata, polis turut menyita sebuah motosikal bernilai RM10,000.”Suspek dan isterinya yang juga suri rumah direman di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula 28 Ogos hingga 3 September ini, bagi membantu siasatan.

“Hasil semakan, suspek lelaki mempunyai dua rekod jenayah berkaitan narkotik dan dua rekod jenayah berkaitan jenayah manakala isterinya tiada rekod jenayah,” katanya.

Menurut beliau, upah yang diterima suspek adalah RM100 untuk setiap kilogram ganja mampat yang dibawanya dan dia mampu memperoleh sehingga RM5,000 untuk sekali penghantaran, bergantung pada jumlah dadah yang dibawa.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati, suspek lelaki positif dadah jenis Methampetamine dan Amphetamine manakala isterinya pula bebas dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952.

Ganja yang dirampas boleh digunakan oleh sehingga 103,270 penagih.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pengedaran dadah atau penyalahgunaan dadah boleh menyalurkannya ke talian 012-2087222 secara panggilan terus atau melalui aplikasi WhatsApp.

Loading...
Terkini