comscore
Tumpuan :
Jenayah

Teman lelaki remaja perempuan dilarikan disambung reman

ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof. – FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Teman lelaki remaja perempuan berusia 13 tahun yang dilarikan dari inap desa di Taman Salak Maju, Sepang pada Ahad lalu, disambung reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam selepas dibebaskan di IPD Sepang semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata suspek berusia 21 tahun itu ditahan reman tiga hari manakala seorang lagi lelaki berusia 19 tahun dan wanita berumur 18 tahun yang direman dua hari sudah dibebaskan pada Rabu lalu.

Teman lelaki remaja itu diserahkan kepada IPD Shah Alam untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Polis juga akan memanggil pada bila-bila masa dua lagi suspek yang dibebaskan sekiranya diperlukan bagi melengkapkan siasatan.

“Polis sudah merekodkan keterangan daripada ahli keluarga mangsa bagi membantu siasatan,” katanya dihubungi hari ini.

Pada Ahad lalu, media melaporkan abang mangsa membuat laporan di IPD Sepang memaklumkan kehilangan adik bongsu yang disedari pada 2.30 pagi selepas mereka baru tiba dari Pulau Pinang ke inap desa itu untuk bercuti.

Remaja itu kemudiannya ditemukan selamat di Menara UC Condominium, Seksyen 13, Shah Alam pada Selasa lalu selepas dilarikan dua lelaki berasal dari Sabah.

Dalam operasi itu, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita manakala suspek ketiga ditahan pada 9.30 malam di sebuah premis makanan segera di pusat beli-belah Seksyen 13, Shah Alam.

Siasatan polis mendapati mangsa mengenali suspek lelaki berusia 21 tahun sejak tiga tahun lalu melalui Instagram.

Loading...
Terkini