comscore
Tumpuan :
Jenayah

Terpedaya pelaburan kripto tidak wujud, juruaudit rugi hampir RM1.49 juta

Foto hiasan

NIBONG TEBAL: Seorang juruaudit wanita kerugian hampir RM1.49 juta selepas tertarik dengan iklan berkaitan pelaburan mata wang kripto yang berpangkalan di New York.

Wanita berusia 43 tahun itu yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Sungai Bakap di sini, berputih mata selepas menyedari skim yang ditawarkan itu sebenarnya tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintendan Ng Ah Thiam, berkata kejadian bermula pada 2 Mei lalu ketika mangsa melihat satu iklan pelaburan di laman sosial Facebook (FB) sehingga menarik minatnya untuk mengetahui perkara itu dengan lebih lanjut.

“Mangsa tertarik sehingga dia kemudian mengikuti pautan yang ada dalam iklan terbabit dan seterusnya mendapat penerangan mengenai pelaburan saham yang ditawarkan.

“Selepas selesai mendapat penerangan, mangsa berminat untuk menyertai pelaburan itu dan dia kemudian telah membuat beberapa transaksi pembayaran dengan jumlah keseluruhan hampir RM1.49 juta ke dalam beberapa akaun bank yang diberikan oleh sindiket terbabit.

“Bagaimanapun, sehingga kini dia gagal mengeluarkan keuntungan beserta modal yang dilaburkan, bahkan secara berterusan dipaksa menambah wang pelaburan,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik dalam laman rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan, di sini, semalam.

Jelasnya, mangsa yang sedar dirinya terjerat dalam sindiket penipuan tampil membuat laporan polis kelmarin untuk tindakan lanjut.

“Pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak mudah mempercayai dengan sebarang bentuk pelaburan yang menjanjikan keuntungan di media sosial,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini