comscore
Tumpuan :
Jenayah

Terpedaya tawaran kerja sambilan, pengurus wanita rugi lebih RM200,000

Foto hiasan

MIRI: Seorang wanita yang bekerja sebagai pengurus syarikat swasta di sini, kerugian RM200,635 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan atas talian dan pelaburan Bitcoin.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, mangsa berusia 52 tahun telah menerima mesej melalui aplikasi Whatsapp dari seseorang yang menawarkan kerja secara sambilan.

“Mangsa diarahkan untuk melakukan beberapa tugasan mudah seperti menekan butang ‘subscribe’ dan akan menerima bayaran bagi setiap tugasan yang dilakukan.

“Mangsa kemudian ditawarkan untuk melakukan tugasan yang lain iaitu dengan memilih pelaburan yang ditawarkan untuk menerima pulangan daripada pelaburan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa memilih tugasan pelaburan melalui pilihan yang diberikan, kemudian mangsa diarahkan membuat pembayaran bagi pelaburan tersebut.

“Mangsa telah membuat sebanyak 18 kali transaksi dengan pemindahan wang keseluruhan berjumlah RM200,635 ke 13 akaun bank atas nama individu berlainan mulai 28 Februari lalu hingga kelmarin.

“Mangsa telah cuba untuk mengeluarkan wang keuntungan daripada ‘reward’ tugasan yang dilakukan termasuk dengan tugasan memilih pelaburan yang dibuat tetapi mangsa diarahkan untuk membuat pembayaran cukai lagi supaya wang itu dapat dikeluarkan,” katanya.

Alexson berkata, selepas itu mangsa menyedari bahawa dia telah ditipu dan membuat laporan polis kelmarin.

“Kita menasihatkan orang ramai agar melabur di platform yang betul dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” tegasnya.

Loading...
Terkini