comscore
Tumpuan :
Jenayah

Tiga beradik cederakan ibu kandung dibebaskan dengan jaminan polis

Foto hiasan

SEREMBAN: Tiga beradik yang ditahan selepas dikatakan mencederakan ibu kandung hingga tular di media sosial baru-baru ini, dibebaskan dengan jaminan polis.

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof kes itu membabitkan hal keluarga dan sudah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

“Tiga suspek lelaki itu ditahan minggu lalu (5 Oktober 2023) dan semalam mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

“Siasatan berdasarkan laporan yang dibuat iaitu mencederakan orang dan merosakkan harta di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Program Townhall Discussion Peringkat Kontinjen Negeri Sembilan ‘Revolusi Industri Pelancongan “Secure & Safety” dan Majlis Pelancaran Taman Angkat Amanita di sini hari ini.

Turut diadakan Majlis Pelancaran Taman Angkat AMANITA Peringkat kontinjen Negeri Sembilan Tahun 2023 membabitkan Taman Pinggiran Pedas, dekat Rembau.Mengulas lanjut, Ahmad Dzaffir berkata, kesemua keterangan suspek sudah diambil dan dirakam daripada pelbagai aspek dan polis masih menunggu laporan perubatan.

Sebelum ini, media melaporkan tiga suspek yang berusia 17 hingga 29 tahun ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Port Dickson kira-kira jam 6.30 petang, 5 Oktober lalu sebelum direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Hasil semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah dan dadah, manakala ujian saringan air kencing adalah negatif.

Terdahulu, tular video “Derhaka Ibu” yang dimuat naik seorang pemilik akaun di Facebook berkaitan seorang lelaki yang melakukan kekerasan terhadap ibunya.

Loading...
Terkini