comscore
Tumpuan :
Jenayah

Tiga beradik disyaki terlibat kes samun bersenjata

Seorang daripada tiga beradik yang ditahan kerana disyaki terbabit dengan kes samun berkumpulan menggunakan kapak dan pisau di tiga kedai telefon di Kota Bharu, Kelantan. – FOTO NSTP

KOTA BHARU:  Tiga beradik ditahan polis selepas disyaki terbabit dengan kes samun berkumpulan menggunakan senjata kapak dan pisau kejadian di daerah ini.

Ketiga-tiga beradik berusia antara 19 hingga 36 tahun itu ditahan berasingan iaitu dua daripadanya di tepi Jalan Kampung Sri Kulim, Melor di sini, jam 8.15 malam, dan seorang lagi di hadapan sebuah kedai telefon bimbit di Melor, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, mereka ditahan oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

Katanya, pada 15 Julai hingga kelmarin, IPD Kota Bharu menerima tiga laporan berhubung kejadian samun kedai telefon yang berlaku di sekitar daerah ini.

“Ketiga-tiga kejadian mempunyai modus operandi sama iaitu suspek masuk ke kedai dengan bersenjatakan sebilah kapak dan pisau, lalu mengacukan ke arah pekerja sebelum mengambil wang tunai serta telefon bimbit.

“Bertindak atas maklumat dan risikan, satu operasi mengesan dan menangkap suspek dijalankan sebelum polis berjaya menahan tiga beradik itu,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Semakan mendapati, dua daripadanya mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

Hasil ujian saringan awal, dua daripada tiga suspek, positif dadah.

“Turut dirampas, sebilah kapak, telefon bimbit dan topi keledar. Dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan tiga kes samun berkumpulan di sekitar daerah ini.

“Mereka direman selama lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Loading...
Terkini