comscore
Tumpuan :
Jenayah

Wanita rugi RM408,928 jadi mangsa Macau Scam

Foto Hiasan

KUCHING: Seorang wanita berusia 45 tahun kerugian RM408,928 selepas menjadi mangsa penipuan Macau Scam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Azman Ahmad Sapri, berkata pada mulanya wanita terbabit dihubungi suspek yang menyamar dari pihak Pejabat Pos Laju di Kuala Lumpur, memaklumkan mangsa menerima bungkusan, pada 15 Ogos lalu.

Katanya, suspek mendakwa bungkusan terbabit mengandungi kad pengenalan dan lima kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan memaklumkan, barangan itu tidak boleh dipos, sebelum menyarankan mangsa membuat laporan polis.

“Panggilan itu kemudiannya disambungkan ke talian di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan dijawab suspek lain yang menyamar sebagai Sarjan Mohd Khairul Hasyim,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa dikatakan terbabit dengan kes pengubahan wang haram dan waran tangkap akan dikeluarkan terhadap mangsa.

“Beberapa hari selepas itu, mangsa dihubungi Asisten Superintendan Mokhtar menggunakan panggilan telefon bagi proses siasatan awal.

“Mangsa seterusnya diminta untuk memindahkan wang yang ada di dalam simpanan kepada juruaudit yang akan dilantik oleh pihak mahkamah bagi memastikan tiada pembabitan wang haram di dalam akaun bank mangsa,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang panik bertindak memindahkan wang simpanan sebanyak RM57,940 ke empat akaun bank suspek pada 23 hingga 30 Ogos lalu.

“Pada 30 Ogos, mangsa sekali lagi dihubungi suspek yang menyamar sebagai pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cyberjaya menggunakan panggilan telefon mengatakan mangsa mempunyai cukai syarikat tertunggak sebanyak RM36,800 selama 15 bulan.

“Mangsa kemudian diarahkan membuat pinjaman di beberapa buah bank bagi membuktikan adakah pengaliran wang itu terbabit dalam pengubahan wang haram.

“Selepas semua pinjaman diluluskan suspek mengarahkan kepada mangsa, wang itu perlu dipindahkan kepada beberapa orang juruaudit yang dilantik kononnya bagi semakan,” katanya.

Katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak menerima laporan berhubung kes itu semalam,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini