comscore
Tumpuan :
Jenayah

Warga emas rugi RM1.4 juta, terpedaya sindiket penipuan phone scam

Foto hiasan

IPOH: Seorang pesara wanita mendakwa kerugian hampir RM1.4 juta akibat terpedaya dengan penipuan panggilan telefon atau ‘phone scam’ oleh individu menyamar pegawai polis dan wakil syarikat penghantar barang selepas mula dihubungi suspek sejak tiga tahun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, laporan mengenai kes yang dibuat warga emas berumur 62 tahun itu diterima pihaknya semalam.

Beliau berkata, mangsa terpedaya selepas panggilan telefon mula diterima pada 27 Mac 2020 daripada seorang suspek memperkenalkan diri sebagai pekerja syarikat kurier dan mendakwa mangsa mempunyai bungkusan bermasalah.

Katanya, mangsa diminta membuat pengesahan apabila diberikan ‘pekerja kurier’ itu nombor telefon palsu kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah sebelum dimaklumkan suspek lain yang menyamar ‘pegawai polis’ kononnya mangsa turut terbabit jenayah penggubahan wang haram dan dadah.

Katanya, mangsa kemudiannya mempercayai cerita suspek itu apabila ditunjukkan suspek dengan dokumen kononnya waran tangkap dikeluarkan mahkamah atas nama mangsa.

“Sepanjang urusan, pengadu (mangsa) dengan ‘IPK Sabah’ mengenai kes ‘jenayah’ itu, pengadu berkomunikasi dengan lima suspek berlainan yang menyamar sebagai pegawai polis dalam perwatakan berlainan.

“Pengadu juga mendedahkan semua maklumat sulit mengenai akaun bank dan akaun dompet digital (e-wallet) kepada semua suspek serta mengikuti arahan suspek untuk membuat pemindahan wang ke pelbagai akaun bank milik individu lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, mangsa hanya sedar ditipu selepas menunggu sekian lama selepas seorang daripada suspek berkenaan yang berjanji kononnya akan datang berjumpa dengannya di bandar raya ini sejak tahun 2020 lagi.

“Dalam kes ini, pengadu mengalami kerugian kira-kira RM1,417,019 dalam bentuk wang dan mata wang kripto USDT,” katanya.

Loading...
Terkini