comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes buli di MCKK: Polis masih tunggu arahan AGC

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

IPOH: Polis sehingga kini masih menunggu arahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung tindakan lanjut mengenai siasatan kes buli pelajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang dilaporkan September tahun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya perlu menunggu arahan daripada AGC sebelum sebarang tindakan lanjut diambil terutamanya bagi mendakwa suspek di mahkamah.

“Kita tunggu arahan AGC,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, semalam yang dilapor berkata, pihaknya sudah selesai menjalankan siasatan berhubung kes dakwaan buli pelajar di MCKK itu dan hasil siasatan itu juga sudah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Ditanya mengenai sama ada kes berkenaan ditutup atau sebaliknya, Mohd Yusri hanya menjelaskan bahawa pengesahan mengenai perkara itu lebih baik dengan menghubungi AGC.

Pada 10 Disember tahun lalu, Mohd Yusri berkata pihaknya masih menunggu arahan AGC berhubung status suspek kes dakwaan buli pelajar di MCKK, sama ada diteruskan dengan proses pendakwaan atau tidak.

Mohd Yusri ketika itu berkata, kertas siasatan kes buli berkenaan sudah dirujuk semula kepada AGC selepas laporan penuh perubatan mangsa diperoleh daripada Hospital Kuala Kangsar.

Sebelum ini beliau dilaporkan berkata, siasatan yang dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu sudah dirujuk kepada AGC sejak 9 November lalu, namun pihak AGC memberikan beberapa arahan khusus untuk melengkapkan siasatan termasuk bagi mendapatkan laporan penuh perubatan mangsa.

Dalam kejadian yang dikatakan berlaku pada 24 September tahun lalu, seorang pelajar Tingkatan Empat sekolah berprestij itu dilaporkan mengalami kecederaan dan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital Kuala Kangsar selepas mendakwa diserang empat pelajar senior Tingkatan Lima.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini