comscore
Tumpuan :
Kemalangan

[VIDEO] Suami rentung, isteri dan dua anak parah 

KULIM: Seorang lelaki ditemukan rentung dalam nahas membabitkan dua kereta di Jalan Kulim-Baling, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, Balai Polis Trafik Kulim menerima maklumat berkaitan kemalangan itu pada jam 2.20 petang.

Beliau berkata, mangsa berusia 27 tahun yang memandu kereta Proton Iswara terbakar dan rentung.

“Isteri mangsa berusia 28 tahun dan dua anak berusia tiga dan empat tahun parah dan sedang menerima rawatan di zon merah Hospital Kulim (HK).

“Siasatan awal oleh pihak polis mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu mangsa yang datang dari arah Kulim ke Baling dipercayai terbabas ke laluan bertentangan.

“Kereta itu kemudian dilanggar oleh kereta Toyota Camry dari arah Baling ke Kulim, namun pemandunya berusia 46 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Redzuan berkata, siasatan juga mendapati pemandu kereta Toyota Camry itu memandu dalam keadaan lesen tamat tempoh.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Abdul Rahim Che Omar berkata, kemalangan menyebabkan pemandu Proton Iswara itu tersepit dan terbakar.

Beliau berkata, anggota bomba memadam kereta yang terbakar dan mengeluarkan mangsa tersepit dengan peralatan khas.

Loading...
Terkini