comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Kemalangan: Lelaki Maut, Bayi Cedera

Lelaki maut selepas motosikal ditunggang dilanggar kereta dipandu lelaki warga asing. – FOTO tular

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangi dilanggar sebuah kereta di Jalan Sungai Lalang-Bukit Selambau, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian 7.45 pagi itu mangsa yang berusia 40 tahun dan berasal dari Sungai Lalang, Bedong itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan mendapati mangsa menunggang motosikal Honda EX5 manakala Proton Iswara dipandu lelaki warga asing berusia 40 tahun berkenaan turut membawa empat penumpang lain.

Menurutnya, siasatan mendapati penumpang kereta terbabit terdiri daripada isteri pemandu yang juga warga asing berusia 33 tahun serta tiga anak mereka berusia setahun hingga empat tahun.

“Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa dalam perjalanan dari Bukit Selambau manakala kereta terbabit pula datang dari Sungai Lalang.
“Hasil siasatan lanjut mendapati kemalangan berlaku disebabkan pemandu kereta hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar motosikal mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi manakala bayi berusia setahun yang juga penumpang kereta mengalami luka di kepala.

“Pemeriksaan mendapati pemandu kereta yang bekerja sebagai tukang rumah itu tiada lesen memandu dan pasangan suami isteri berkenaan juga tidak mempunyai dokumen.
“Siasatan kita juga mendapati cukai jalan dan insuran kenderaan dinaiki mereka sekeluarga juga sudah tamat tempoh,” katanya.

Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera juga dihantar ke hospital sama untuk rawatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.- Harian Metro

Loading...
Terkini