comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Lelaki maut digilis treler

Penunggang motosikal berusia 21 tahun maut digilis sebuah treler dalam kemalangan di kilometer 72 Jalan Batu Pahat – Mersing , Kluang Johor. – FOTO: JBPM

KLUANG: Penunggang motosikal berusia 21 tahun maut digilis sebuah treler dalam kemalangan di kilometer 72 Jalan Batu Pahat – Mersing lewat petang hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Anas Nabil Ahmad Nizam sebelum itu mahu memotong treler berkenaan di sebelah kiri namun gagal.

Katanya, motosikal mangsa bergesel dengan treler lalu menyebabkan mangsa terjatuh dan terseret di bawah treler.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati si mati dan treler berkenaan dari arah yang sama iaitu dari arah Kluang menghala ke Kahang.

“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa disyaki bergesel dengan treler semasa cuba memotong di sebelah kiri dan menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu terjatuh.

“Penunggang terseret di bawah treler dan akibat pelanggaran itu, mangsa parah di kepala, tangan kiri,dada, paha sebelah kanan dan meninggal dunia serta merta di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Abdul Razak berkata, pemandu treler akan melakukan ujian saringan air kencing di pejabat bahagian Narkotik Ibu Pejabat Daerah Kluang selepas selesai rakaman percakapan.

“Pemandu treler berusia 27 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Dalam pada itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Saiful Fadly Karim daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kluang berkata, dua buah jentera dikejarkan ke lokasi kemalangan bagi menyelamatkan mangsa yang tersepit di bawah lori.

“Pasukan keluaran operasi (PKO) bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas sehingga mangsa berjaya dikeluarkan dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya operasi ditamatkan kira-kira enam petang tadi.

Loading...
Terkini