comscore
Tumpuan :
Dunia

Anakanda Raja Thailand tidak sedarkan diri akibat masalah jantung

Gambar fail Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn (tegah), bersama Permaisuri Suthida (kanan) dan puterinya, Puteri Bajrakitiyabha Mahidol (kiri). – FOTO: AFP

BANGKOK: Anakanda sulung Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn, dimasukkan ke hospital selepas mengalami masalah jantung, namun dilaporkan stabil.

Puteri Bajrakitiyabha, 44, gering selepas dikatakan tidak sedarkan diri di daerah Rachasima semalam sebelum dikejarkan ke sebuah hospital tempatan.

Menurut kenyataan istana, ketika kejadian, baginda menghadiri kejohanan ‘working dog’ anjuran tentera sebelum dilaporkan tidak sedarkan diri.

Baginda kemudian diterbangkan ke Bangkok selepas keadaannya bertambah stabil dan kini sedang menjalani rawatan serta pemantauan di Hospital Chulalongkorn.

Puteri Bajrakitiyabha antara tiga anakanda Raja Maha Vajiralongkorn yang memiliki gelaran rasmi, menjadikan baginda layak menaiki takhta berdasarkan Perlembagaan negara dan Undang-Undang Pewarisan Istana 1924.

Buat masa ini, Raja Maha Vajiralongkorn masih belum menamakan pewaris baginda sejak menaiki takhta pada 2016.

Puteri Bajrakitiyabha yang sebelum ini bertugas bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pernah berkhidmat sebagai duta ke Austria, Slovenia dan Slovakia. – REUTERS

Loading...
Terkini