comscore
Tumpuan :
Hiburan

Dia sendiri minta agar saya simpan ‘rahsia’ mengenai penyakit itu – Shahrin

PETALING JAYA: Sahabat kepada Allahyarham Bad Indigo, Shahrin Samsudin atau Shah memberitahu dia sudah tahu mengenai masalah jantung Bad sejak 2015 lagi.

Shahrin bagaimanapun berkata atas permintaan Allahyarham, dia terpaksa menyimpan ‘rahsia’ itu sebagai tanda hormat kepada sahabatnya.

“Saya dengan dia memang rapat, cuma dia tak suka sangat bercerita mengenai masalah dia.

“Jadi, dia sendiri minta agar saya simpan ‘rahsia’ mengenai penyakit itu dan saya hormati permintaannya,” katanya.

Berkongsi mengenai rasa kehilangan selepas pemergian Bad atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah, Shah berkata, Bad sentiasa menjadi orang pertama berikan ucapan ulang tahun kelahiran dalam kumpulan Indigo.

“Kami ada kumpulan WhatsApp untuk rakan-rakan Indigo. Jadi, setiap kali ulang tahun kelahiran sesiapa, dia akan jadi yang pertama untuk hantarkan ucapan. Dia yang paling ingat tarikh ulang tahun kelahiran semua orang.

“Dia sangat penyayang dan kelakar. Lawak dia sangat spontan. Perkara-perkara itulah akan buatkan kami semua rindukannya,” katanya.

Berkongsi mengenai lagu terakhir yang dirakamkan Indigo bersama Bad berjudul Izinkan Aku, kini, ia memberi pemahaman berbeza buat Shah.

“Lagu itu adalah lagu ketuhanan dan Bad sangat teruja untuk menyiapkan lagu ini. Bila dia dah tak ada, barulah saya faham. Kami rancang untuk jalankan penggambaran video muzik dan lancarkan pada hujung tahun ini.

“Tapi, kami akan bincang semula. Mungkin ini akan menjadi lagu ‘tribute’ buat Bad,” katanya.

Jenazah Bad Indigo selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, di sini, jam 2.50 petang, hari ini.

Jenazah Bad atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah sebelum itu dikafan dan disolatkan di Masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14, di sini.

Bad menghembuskan nafas terakhir pada usia 48 tahun di tempat kerjanya selepas mengalami serangan jantung kira-kira jam 7.30 malam semalam.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini