comscore
Tumpuan :
Prihatin

Tiga Anak Ada Masalah Jantung

JOHOR BAHRU: “Kami reda dengan ujian berat Allah ini apabila tiga anak lelaki, termasuk bayi lelaki dilahirkan pada 21 Julai lalu menghidap masalah jantung,” kata seorang juru kimpal, Hafiz Al Arshad Mohammed, 41.

Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, kesihatan tiga anak menjadi kebimbangannya, dan beliau buntu memikirkan masa depan anak-anaknya kerana belum menjejak ke sekolah walaupun tiga daripada mereka sudah mencapai usia bersekolah.

Beliau berkata, anaknya ialah Nursyafina, 12; Mohd Dany Aqasha, 8; Muhammad Alif, 5; Mohd Fikri Irshad, 3 dan Mohd Zikri, berusia 26 hari.

Katanya, anak yang mengalami komplikasi jantung ialah anak ketiga, keempat dan anak bongsu.

“Muhammad Alif pernah menjalani pembedahan kerana jantung terbalik sebanyak dua kali pada 2017 dan 2019 serta memakan kos kira-kira RM50,000.

“Mohd Fikri menjalani pembedahan kerana jantung berlubang, selain membesarkan saluran pernafasan sempit pada awal tahun lalu dan kos pembedahannya RM30,000.

“Kami bersyukur kerana semua pembedahan yang dikendalikan di Institut Jantung Negara (IJN). Saya difahamkan kami menerima pembiayaan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ). Mereka dijangka perlu menjalani dua pembedahan susulan pada masa depan,” katanya.

Hafiz Al Arshad berkata, dia dan isteri, Lina Rais, 37, juga berdebar memikirkan nasib Mohd Zikri yang masih menerima rawatan di unit rawatan intensif neonatal (NICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) kerana komplikasi jantung, dan dijangka dihantar ke IJN bagi pembedahan.

Beliau berkata, bayinya tidak dapat dibawa pulang sejak dilahirkan kerana berisiko dan dia mengunjungi anaknya setiap hari.

“Saya bukan tidak berusaha namun pendapatan harian saya adalah RM80 namun tidak tetap dan hanya menerima gaji harian, sekiranya tiada tugasan, tiada gaji.

“Memandangkan anak ketiga dan keempat bermasalah kesihatan, saya terpaksa berulang-alik ke hospital sekiranya mereka mengalami sebarang masalah kesihatan manakala mereka juga perlu menjalani pemeriksaan susulan di IJN dua kali setahun.

“Saya menampung kos sewa rumah RM300 sebulan selain perbelanjaan dapur serta susu serta kos pembelian lampin pakai buang bagi anak,” katanya yang tinggal di Kampung Sri Makmur, Plentong di sini.

Hafiz Al Arshad berkata, anak sulung, kedua dan ketiga dapat bersekolah bertanya tarikh mereka ke sekolah keadaan kewangan keluarganya belum baik.

“Kami tidak pernah memohon bantuan sara hidup daripada mana-mana agensi kerana tidak mengetahui kaedah,” katanya.

Keluarga berkenaan menerima kunjungan daripada Ketua Kampung Senibong Mukim Plentong, Abd Rahim Moen dan sukarelawan yang mendedahkan kisah keluarga berkenaan, Syed Sallilah @ Bakhtiar Syed Mashor.

Abd Rahim berkata, pihaknya menasihati ketua keluarga untuk mendaftar anak ke sekolah dengan segera dan membantu mendapatkan dana daripada agensi berkaitan. – Berita Harian

Loading...
Terkini