comscore
Tumpuan :
Luar Negara

AS umum bantuan AS$400 juta lagi kepada Ukraine

Peluru berpandu sistem pertahanan udara HAWK PIP III R adalah antara senjata dibekalkan Amerika Syarikat dalam pakej bantuan terbaru kepada Ukraine. – FOTO: REUTERS

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan menyediakan sistem pertahanan udara dan peluru berpandu darat ke udara kepada Ukraine sebagai sebahagian daripada pakej bantuan keselamatan baharu bernilai AS$400 juta (RM1.8 bilion).

Menurut Timbalan Setiausaha Akhbar Pentagon, Sabrina Singh, ini berikutan serangan udara yang tidak henti-henti dan kejam Russia ke atas infrastruktur awam kritikal Ukraine, sekali gus memerlukan keupayaan pertahanan udara diperkasakan.

Pakej itu termasuk empat sistem pertahanan udara Avenger jarak dekat mudah alih, yang kali pertama dibekalkan kepada Ukraine serta peluru berpandu Stinger.

Selain itu, peluru berpandu sistem pertahanan udara HAWK yang dipersetujui disediakan oleh Sepanyol, peluru meriam dan mortar, peluru untuk pelancar roket ketepatan Himars dan lebih 20 juta butir peluru senjata kecil turut dibekalkan selain daripada inventori AS sedia ada.

Peluru berpandu HAWK akan diperbaharui menerusi dana Inisiatif Bantuan Keselamatan Ukraine, yang membayar perolehan peralatan daripada industri pertahanan.

Pakej itu bernilai lebih AS$18.6 bilion (RM86 bilion) bantuan keselamatan AS di Ukraine sejak tentera Russia menceroboh negara itu pada Februari.

Pengumuman bantuan keselamatan itu dibuat sehari selepas Jeneral tertinggi AS, Mark Milley, berkata lebih 100,000 anggota tentera Russia terbunuh atau cedera di Ukraine, dengan tentera Kyiv berkemungkinan mengalami kecederaan yang sama.

Milley berkata, terdapat peluang untuk perbincangan mengenai menamatkan perang dan kemenangan ketenteraan tidak mungkin berpihak kepada kedua-duanya.

Russia kemudiannya mengumumkan bahawa tenteranya mula berundur dari bandar Kherson di selatan Ukraine iaitu satu tamparan hebat kepada kempen ketenteraan Moscow.

“Kami melihat beberapa tanda tentera Russia berundur dari bandar Kherson, tetapi masih terlalu awal untuk membuat penilaian penuh mengenai motifnya,” kata Milley. – AFP/BERITA HARIAN

Loading...
Terkini