comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Isu LGBT, Pejabat Mufti Singapura Terbit Nasihat Buat Orang Islam

Pejabat Mufti Singapura menerbitkan nasihat buat Orang Islam di negara itu selepas keputusan Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong mengumumkan memansuhkan undang-undang seks sesama jenis.

Oleh Buletin Tv3

PETALING JAYA: Sehari selepas Perdana Menteri, Lee Hsien Loong mengumumkan pemansuhan undang-undang larangan seks sejenis, Pejabat Mufti tampil menerbitkan irsyad atau nasihat bagi umat Islam di negara itu.

Menerusi satu kenyataan, Pejabat Mufti dipetik berkata Islam menekankan asas sebuah masyarakat atau keluarga dibentuk menerusi perkahwinan antara lelaki dengan perempuan.

Islam ujarnya melarang sebarang jenis hubungan atau ikatan seksual lain.

“Hari ini, tidak semua golongan manusia bersependapat dengan pendirian agama sebegini. Dengan perkembangan pesat media massa dan media sosial, masyarakat semakin terdedah kepada paparan gaya hidup LGBTQ+.

“Di samping itu, terdapat penyokong pergerakan LGBTQ+ yang mula mengemukakan penafsiran mereka tersendiri terhadap nas-nas agama untuk menyokong amalan dan gaya hidup sedemikian. Perkembangan ini tentunya mencabar prinsip serta pegangan masyarakat Islam berkaitan definisi dan konsep keluarga, perkahwinan, serta seksualiti.

“Masyarakat Islam amat prihatin terhadap kesan jangkamasa panjang ke atas nilai-nilai dan amalan agama kita, yang disebabkan oleh aktiviti LGBTQ+,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook semalam.

Justeru sebarang perubahan undang-undang tidak bermakna cara masyarakat Melayu atau Islam akan berubah, namun perlu menjalani kehidupan dengan yakin berpandukan pendirian dan nilai berterusan.

Pejabat Mufti berkata sebarang usaha advokasi bagi kumpulan lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer (LGBTQ+) harus menghormati nilai-nilai yang dianggap amat berharga oleh masyarakat Islam dalam mengamalkan agama.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong

Lee dalam ucapannya di Hari Kebangsaan Singapura pada Ahad lalu mengumumkan pemerintah akan memansuhkan Seksyen 377A yang menyifatkan seks sesama lelaki sebagai satu jenayah.

Selaras dengan perubahan itu, perlembagaan juga akan dipinda supaya melindungi institusi perkahwinan di Singapura daripada dicabar di mahkamah, antaranya dengan menetapkan takrif perkahwinan sebagai antara seorang lelaki dan seorang wanita.

Loading...
Terkini