comscore
Tumpuan :
Luar Negara

[VIDEO] Jual hadiah negara secara haram, Imran Khan dijatuhkan hukuman penjara 3 tahun

LAHORE: Polis menahan bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan di bandar timur Lahore pada hari Sabtu, kata peguamnya, selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun kepadanya kerana menjual hadiah negara secara haram.

Pakar undang-undang berkata, keputusan bersalah yang diputuskan oleh mahkamah daerah boleh menamatkan peluang Imran Khan untuk menyertai pilihan raya kebangsaan yang perlu diadakan sebelum awal November.

“Polis telah menahan Imran Khan dari kediamannya,” kata peguamnya, Intezar Panjotha kepada Reuters.

“Kami memfailkan petisyen terhadap keputusan itu di mahkamah tinggi.

Menurut Parti politik Imran Khan, Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) dalam satu kenyataan, mereka telah memfailkan satu lagi rayuan kepada Mahkamah Agung pada hari ini.

Penangkapan dan penahanan Imran Khan selama beberapa hari pada Mei lalu atas kes berasingan telah mencetuskan pergolakan politik yang sengit serta pertempuran maut telah tercetus antara penyokong Imran Khan dan polis.

Media Pakistan dan saksi Reuters yang berada dilokasi turut melihat polis mengepung kediaman Imran Khan di Lahore, selepas keputusan mahkamah itu dikeluarkan.

Hukuman itu berkaitan dengan siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, yang mendapati Imran Khan bersalah, kerana menjual hadiah negara secara tidak sah semasa menjadi Perdana Menteri dari 2018 hingga 2022.

Imran Khan bagaimanapun telah menafikan sebarang salah laku itu.

Pemain kriket berusia 70 tahun yang bertukar karier menjadi ahli politik itu dituduh menyalahgunakan jawatan Perdana Menteri untuk membeli dan menjual hadiah milik negara yang diterima semasa lawatan ke luar negara.

Hadiah itu dikatakan bernilai lebih 140 juta rupee Pakistan atau AS$635,000. – REUTERS

Loading...
Terkini