comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Juruterbang ditahan cuba matikan enjin pesawat dalam penerbangan

Pesawat Alaska Airlines. – FOTO Reuters

PORTLAND: Penerbangan Alaska Airlines yang dalam perjalanan ke San Francisco, Amerika Syarikat (AS) terpaksa dilencongkan ke Oregon selepas juruterbangnya yang ketika kejadian tidak bertugas tetapi berada di dalam kokpit, cuba mematikan enjin pesawat berkenaan.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) memberitahu syarikat penerbangan AS dalam notis yang dilihat oleh Reuters bahawa juruterbang terbabit Joseph David Emerson berada di dalam kokpit sebagai ‘penumpang sah’.

Suspek dilapor cuba melumpuhkan enjin jet berkembar Embraer 175 itu dengan mengaktifkan sistem pencegah kebakaran enjin ketika pesawat berada pada ketinggian ‘cruise’.

“Kru berjaya menggagalkan tindakan suspek dan dia dikeluarkan dari kokpit,” kata notis FAA.

Suspek  ditahan Ahad lalu dan didakwa atas 83 cubaan membunuh, 83 tuduhan membahayakan orang lain secara melulu dan satu pertuduhan mendatangkan bahaya terhadap pesawat, menurut pejabat pendakwa raya yang dipetik The Straits Times.

Pendakwaan rasmi ke atas Emerson, 44, dijangka difailkan pada Isnin di mahkamah daerah Multnomah di Portland, kata jurucakap pejabat berkenaan.

Sementara itu, Kumpulan Alaska Air, subsidiari bagi Horizon Air berkata, pesawat Alaska Airlines 2059 yang berlepas dari Everett, Washington pada Ahad, sepatutnya mendarat di San Francisco tetapi dilencongkan ke Portland kerana ancaman keselamatan.

Menurutnya, Emerson menyertai Alaska Air sebagai pegawai pertama Horizon pada Ogos 2001 dan pada 2012, beliau meninggalkan Horizon untuk menyertai Virgin America sebagai juruterbang.

Emerson kemudian menjadi pegawai pertama Alaska Airlines selepas pemerolehan Virgin America oleh Alaska Air pada 2016 dan menjadi kapten Alaska Airlines pada 2019.

“Tidak ada satu pun pensijilan beliau dinafikan, digantung atau dibatalkan,” kata Alaska Air. – REUTERS

Loading...
Terkini