comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Kemarau: Bali isytihar darurat

Foto: AFP

BALI: Pemerintah Bali di Indonesia mengisytiharkan darurat di pulau peranginan itu selama dua minggu berikutan kemarau berpanjangan dan peningkatan kebakaran tanah gambut serta hutan.

Arahan itu dikeluarkan Pemangku Gabenor Bali, SM Mahendra Jaya, dalam satu kenyataan pada Khamis dan membabitkan semua bandar di wilayah berkenaan.

Dasar itu akan dikuatkuasakan sehingga 1 November dan boleh dilanjutkan atau disingkatkan jika perlu.

Menurut ketua agensi Badan Mitigasi Bencana Bali (BPBD-BALI), Made Rentin, status darurat diisytiharkan untuk membantu memudahkan akses bagi pengerahan sumber manusia, peralatan dan logistik lain bagi mengurangkan kesan bencana.

Status itu juga membolehkan pentadbiran wilayah mengarahkan institusi lain untuk mengambil peranan aktif dalam mengurangkan bencana.

“BPBD mendapat akses kepada semua sumber yang kita perlukan untuk menangani kemarau dan kebakaran,” kata Made kepada akhbar Jakarta Post.

Khamis lalu, Mahendra berkata tidak ada sebab untuk cemas kerana keputusan meningkatkan status kesedaran bencana telah dibuat secara berhemah sebagai cara untuk menggerakkan sumber.

Kemarau melampau telah melanda seluruh pulau yang bergantung kepada pelancongan itu sejak Julai lalu, dengan sekurang-kurangnya 113 banjar (perkampungan tradisional) menghadapi krisis air bersih.

Kawasan paling terjejas termasuk perkampungan di Buleleng, Jembrana dan Karangasem.

“Kemarau dan krisis air bersih mungkin merebak ke kawasan lain jika tiada hujan dalam beberapa hari akan datang,” kata Mahendra dalam pertemuan dengan BNPB di Denpasar.

Menurut data dari Biro Meteorologi Denpasar, Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), tiga daerah di seluruh pulau itu tidak menerima hujan selama 94 hari berturut-turut.

Musim kemarau berpanjangan di Bali, sebahagiannya disebabkan oleh fenomena cuaca El Nino.

Ia juga menyebabkan banyak kebakaran hutan dan tanah, dengan sekurang-kurangnya tujuh kebakaran hutan dilaporkan antara Julai dan Oktober; dua di Buleleng, empat di Karangasem dan satu di Bangli.

Tiga kemudahan tapak pelupusan bagi bahan buangan kebersihan juga terbakar dan pihak berkuasa masih  bertungkus-lumus untuk memadam kebakaran itu selepas lebih seminggu terbakar.

Ia termasuk di tapak pelupusan sampah terbesar Bali di Suwung, Denpasar.

Selain itu, dua lagi kemudahan yang terbakar ialah tapak pelupusan sampah Mandung di Tabanan dan tapak pelupusan Temesi di Gianyar.

Pihak berkuasa tempatan memberi amaran kebakaran tapak pelupusan sampah, jika tidak dipadamkan, boleh mengancam kesihatan masyarakat berdekatan.

Bagaimanapun, Made yakin dengan penguatkuasaan status darurat, bencana itu boleh dikurangkan segera. – AGENSI

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini