comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Kongres AS lulus rang undang-undang perbelanjaan elak penutupan kerajaan

FOTO Reuters

WASHINGTON: Senat Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu meluluskan rang undang-undang perbelanjaan jangka pendek bagi memastikan kerajaan masih dapat beroperasi dalam masa terdekat.

Rang undang-undang itu telah dikemukakan kepada Presiden Joe Biden untuk ditandatangani.

Undian 88-9 menyaksikan sokongan dwipartisan, meskipun mendapat kritikan Republikan yang menuntut pemotongan perbelanjaan, lapor Agensi Anadolu.

Dewan Perwakilan sebelum ini meluluskan langkah tambahan 45 hari untuk membiayai kerajaan persekutuan, dengan undian 335-91.

Rang undang-undang stopgap itu, bertindak sebagai resolusi berterusan bagi memastikan kerajaan persekutuan mendapat pembiayaan pada tahap yang sama seperti tahun fiskal 2023.

“Rakyat Amerika boleh menarik nafas lega. Tidak akan ada penutupan kerajaan. Demokrat telah berkata dari awal bahawa satu-satunya penyelesaian untuk mengelakkan penutupan menerusi dwipartisan dan kami gembira kerana Speaker (Kevin) McCarthy akhirnya mengambil berat tentang mesej kami,” kata Ketua Majoriti Senat Chuck Schumer.

Speaker Dewan Rakyat Kevin McCarthy kini mungkin menghadapi usaha dari sayap kanan untuk menggulingkannya.

“Jika seseorang mahu menyingkirkan saya kerana saya mahu menjadi individu yang matang di dalam dewan, silakan cuba. Tetapi saya rasa negara ini terlalu penting.

“Jika saya terpaksa mempertaruhkan tugas saya untuk membela rakyat Amerika, saya akan melakukannya,” katanya.

Ahli Parlimen mempunyai masa hingga tengah malam Sabtu untuk meluluskan rang undang-undang itu untuk mengelakkan penutupan kerajaan.

Biden dijangka menandatangani rang undang-undang itu secepat mungkin untuk membolehkan pembiayaan kerajaan sehingga 17 Nov dan termasuk tambahan US$16 bilion bagi bantuan bencana.

Andai penutupan kerajaan berlaku, itu bermakna empat juta kakitangan kerajaan persekutuan akan diberhentikan atau terpaksa tinggal di rumah tanpa gaji, manakala petugas perkhidmatan lain yang penting terpaksa bekerja tanpa gaji, termasuk 1.3 juta anggota perkhidmatan aktif serta penguatkuasa undang-undang persekutuan dan pengawal trafik udara.

Pelbagai perkhidmatan kerajaan juga akan terhenti serta-merta. – BERNAMA-ANADOLU

Loading...
Terkini