comscore
Tumpuan :
Dunia

Krisis di Laut China Selatan buatkan Marcos ‘tidak tidur malam’

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, ketika berucap di Forum Ekonomi Sedunia di Davos, Switzerland. – FOTO : AP

DAVOS: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos, berkata krisis pertikaian wilayah di Laut China Selatan membuatkannya ‘tidak tidur malam’, namun tetap bertegas menyelesaikan isu itu dengan China secara aman.

Ketika bercakap di Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, Marcos berkata negaranya hanya melihat sebagai ‘pemerhati’ setiap kali ketegangan meningkat selepas kapal perang China atau Amerika Syarikat (AS) melintasi wilayah itu.

“Jika sesuatu berlaku di sini kami, penduduk Filipina yang tinggal di sana, akan menderita.

“Keadaan ini membuat anda terjaga pada waktu malam, membuat anda terjaga pada siang hari, malah membuat anda terjaga pada kebanyakan masa,” katanya.

Beliau juga sudah membincangkan isu itu dengan Presiden China, Xi Jinping semasa lawatan ke Beijing awal bulan ini, namun tiada perkembangan baharu dilaporkan.

“Ia sangat dinamik, ia sentiasa berubah-ubah. Jadi, anda perlu memberi perhatian kepadanya untuk memastikan bahawa sekurang-kurangnya anda menyedari keadaan semasa supaya dapat bertindak balas sewajarnya,” katanya.

China dan Filipina bertelagah mengenai Laut China Selatan, dengan Beijing menuntut kedaulatan terhadap hampir keseluruhan kawasan walaupun mahkamah antarabangsa memutuskan bahawa tuntutannya tidak mempunyai asas undang-undang.

Bulan lalu, Manila mengarahkan tenteranya supaya meningkatkan kehadirannya selepas laporan bahawa China sudah mula menuntut semula dan membangunkan beberapa kawasan tanah yang tidak diduduki di sekitar Kepulauan Spratly.

“Kami tidak mempunyai tuntutan bercanggah dengan China. Apa yang kami ada ialah China membuat tuntutan terhadap wilayah kami. Inilah pandangan kami dan bagaimana kami mendekati masalah itu,” kata Marcos.

China dan Filipina berikrar untuk menyelesaikan perselisihan faham maritim melalui ‘rundingan mesra’ semasa lawatan Marcos ke China baru-baru ini. -AFP

Loading...
Terkini