comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Penumpang di bawah pengaruh dadah, cuba buka pintu pesawat 

 


SEOUL: Seorang penumpang dipercayai di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine ditahan selepas cuba membuka pintu kecemasan sebuah pesawat Korean Air baru-baru ini.

Menurut The Straits Times wanita berusia 26 tahun itu adalah antara penumpang dalam penerbangan menuju Incheon dari New York, pada 23 November lalu.

Kata polis lapangan terbang, suspek secara tiba-tiba cuba membuka pintu kecemasan pesawat.

Korea JoongAng Daily melaporkan bahawa wanita itu segera dihalang oleh kru kabin dan diserahkan kepada polis sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon.

Wanita itu kemudiannya didapati positif methamphetamine.

Ini adalah kejadian kali ketiga seumpamanya dalam industri penerbangan Korea Selatan pada 2023.

Pada Mei lalu, seorang penumpang lelaki dalam penerbangan Asiana Airlines dari Jeju ke Daegu berjaya membuka pintu keluar kecemasan semasa mendarat pada masa pesawat itu masih berada 200 meter (m) di atas tanah.

Perbuatan lelaki berkenaan menyebabkan semua penumpang terdedah kepada angin kencang selama kira-kira 10 minit sehingga mendarat.

Rakaman video kejadian yang tular di media sosial menunjukkan angin memasuki kabin menerusi pintu terbuka itu, dengan kain sandaran pada tempat duduk dan rambut penumpang berterbangan ketika beberapa orang menjerit ketakutan.

Satu lagi video yang dikongsi di media sosial menunjukkan penumpang duduk di barisan keluar kecemasan di sebelah pintu terbuka ditiup angin kencang.

Kedua-dua penumpang lelaki itu, yang memakai tali pinggang keledar, mengerutkan kening apabila angin bertiup di sekeliling mereka, sambil mereka memegang tempat letak tangan dan cuba berpaling dari pintu.

Menurut Korea JoongAng Daily, Mahkamah Daerah Daegu membenarkan penangguhan hukuman penjara lima tahun terhadap lelaki terbabit insiden dengan Asiana Airlines itu, untuk membolehkan dia menjalani rawatan kesihatan mental.

Pada Jun lalu, seorang remaja berusia 19 tahun ditahan selepas cuba membuka pintu keluar kecemasan dalam pesawat ketika dalam perjalanan dari Cebu, Filipina ke Incheon.

Remaja itu dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun.Akibat kerana melanggar undang-undang keselamatan penerbangan dengan cuba membuka pintu kecemasan pesawat di udara, seseorang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun.

Ia berdasarkan undang-undang Korea Selatan.–AGENSI

Loading...
Terkini