comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Roket Rusia tersasar jatuh di Poland ragut dua nyawa

FOTO: REUTERS

WARSAW: Sebuah roket buatan Rusia jatuh di perkampungan Przewodow, Poland, yang terletak berdekatan sempadan Ukraine, mengorbankan 2 nyawa, menurut Kementerian Pertahanan Poland.

Jurucakap kerajaan Poland, Piotr Mueller memaklumkan pemimpin tertinggi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kini sedang mengadakan mesyuarat tergempar berkenaan krisis itu.

Sehubungan itu juga, Kementerian Pertahanan Poland memanggil duta Rusia bagi mendapatkan penjelasan.

Dalam perkembangan berasingan, menurut Rumah Putih, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, menegaskan negaranya menyokong penuh siasatan Poland berhubung letupan yang mengorbankan dua mangsa itu.

Biden menyampaikan sokongan itu kepada Presiden Poland, Andrzej Duda.

Sementara itu, sekutu NATO juga sedang menyiasat laporan mengenai letupan itu yang disebabkan oleh peluru berpandu sesat Rusia.

Perkara itu turut mendapat perhatian, Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak, yang memaklumkan negaranya sedang meneliti segera laporan serangan peluru berpandu di Poland dan menyatakan akan menyokong sekutunya memperoleh maklumat apa sebenarnya berlaku.

Dalam pada itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menzahirkan ucapan takziah kepada Presiden Poland berhubung ‘keganasan peluru berpandu Rusia’.

Rusia melancarkan operasi besar-besaran terhadap fasiliti tenaga di seluruh Ukraine semalam, menyebabkan penduduk terputus bekalan elektrik.

Serangan sebelum ini memusnahkan kira-kira 40 peratus infrastruktur tenaga di Ukraine. – AGENSI

Loading...
Terkini