comscore
Tumpuan :
Nasional

Warden wanita maut, kereta rempuh tiang elektrik

SELAMA: Seorang wanita maut apabila kereta dipandunya merempuh tiang elektrik di Kilometer 10, Jalan Kampung Medan-Bukit Bertam dekat Kampung Lubuk Pusing, Selama di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Selama, Superintendan Sarudin Samah, berkata mangsa Nurul Nadirah Jihadi, 28, dikatakan dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke rumahnya di sini.

Beliau berkata, dalam kejadian pada 6.21 petang itu, kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu mangsa dikatakan terbabas dan masuk ke dalam longkang jalan sebelum merempuh tiang elektrik di tempat kejadian.

“Susulan kemalangan itu, kereta dipandu mangsa remuk dan dalam keadaan terbalik menyebabkan mangsa mati di lokasi.

“Mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Selama untuk bedah siasat sementara kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Terdahulu tular di akaun media sosial Sekolah Menengah Islam Institut Quran Kuala Lumpur (SMI IQKL), seorang warden yang menjaga pelajar Banat, Ustazah Nurul Nadirah Jihadi, maut selepas kereta yang dipandunya terbabas ketika dalam perjalanan pulang.

Difahamkan mangsa baru bertugas di IQKL sejak 15 Mei lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini