comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Wanita dipenjara 22 tahun, hantar surat mengandungi racun kepada Trump

Foto: Agensi

WASHINGTON: Seorang wanita berusia 55 tahun dijatuhi hukuman penjara hampir 22 tahun selepas didapati bersalah menghantar sampul surat berisi racun risin kepada presiden Amerika Syarikat ketika itu Donald Trump, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Wanita itu, yang tidak dinamakan, akan kekal di bawah pengawasan kehakiman walaupun selepas dibebaskan, menurut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pada Khamis.

Wanita yang mempunyai dua warganegara iaitu Kanada dan Perancis, mengaku menghasilkan risin di rumahnya di Quebec pada September 2020. Dia menghantar surat yang mengandungi racun itu ke Rumah Putih dan pegawai penguatkuasa undang-undang di Texas.

Dia juga telah mencerca Trump di media sosial. Dalam sepucuk surat yang ditujukan kepada Trump, dia telah meminta Republikan menarik balik pencalonannya dalam Pilihan Raya Presiden 2020. Sampul surat itu bagaimanapun telah dipintas oleh Perkhidmatan Rahsia.

Hukuman penjara ini adalah sebahagian daripada perjanjian dengan pihak pendakwaan yang telah diluluskan oleh mahkamah.

Surat-surat yang dicampur dengan risin sangat beracun, turut dihantar kepada presiden ketika itu Barack Obama serta Datuk Bandar New York Michael Bloomberg pada 2013.

Risin boleh membawa maut meskipun dalam kuantiti yang kecil. – BERNAMA-dpa

Loading...
Terkini