comscore
Tumpuan :
Mahkamah

2 pegawai SPRM mengaku tidak bersalah tuduhan rompak ahli perniagaan warga China

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihadapkan ke  Mahkamah Sesyen atas tuduhan merompak seorang ahli perniagaan warga China, dua tahun lalu.

Haffiz Radzi dan Fahmee Nor bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Kedua-dua tertuduh didakwa merompak secara berkumpulan terhadap Kun Gao, pada 10 Disember 2021, melibatkan wang tunai RM952,690 dan 1,225 yuan, termasuk bagasi beg dan beg Louis Vuitton, di kediaman ahli perniagaan itu di Jalan Ampang.

Jika disabit kesalahan, Haffiz dan Fahmee masing-masing berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan.

Hakim menetapkan jaminan bagi kedua-dua tertuduh sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin.

Haffiz dan Fahmee turut diarah melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan sehingga pelupusan kes dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes pada 5 Febuari 2024.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah, manakala peguam S Ravinchandran dan R Vikraman mewakili Haffiz dan Fahmee.

Sementara itu, seorang bekas pegawai SPRM dituduh di  Mahkamah Sesyen berasingan atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap warga China terbabit di lokasi sama.

Tertuduh, Azwan Asli juga mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Loading...
Terkini