comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Dua pengarah syarikat didakwa gagal kemuka penyata cukai pendapatan hampir RM3 juta

JOHOR BAHRU: Dua pengarah syarikat mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mengemukakan penyata pendapatan syarikat dan individu bernilai hampir RM3 juta bagi tahun taksiran tahun 2016 hingga 2021.

Berdasarkan pertuduhan, Lua Wen Shin, 41, seorang pengarah yang bertanggungjawab di bawah Seksyen 75 Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi sebuah syarikat logistik dikehendaki menyatakan satu penyata pendapatan di Borang C bagi tahun taksiran 2020 dan 2021 berkaitan pendapatan syarikat.

Lua didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (LHDN) daripada tempoh 7 bulan daripada tarikh penutupan akaun iaitu pada atau sebelum 31 Julai 2021 bagi tahun taksiran 2020 dan pada atau sebelum 31 Julai 2022 bagi tahun taksiran 2021.

Dia didakwa gagal mengemuka penyata itu yang mempunyai pendapatan bercukai iaitu RM1,570112 yang boleh dikenakan cukai RM376,826 bagi 2020 dan RM742,676 yang boleh dikenakan cukai sebanyak RM178,002 bagi 2021.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 112(A) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama.

Lua yang diwakili oleh peguambela W T Wong mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Manakala seorang lagi pengarah syarikat, Syed Azhar Syed Sahat, 51, yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah bagi dakwaan gagal mengemukakan suatu penyata pendapatan dalam borang BE bagi tahun taksiran tahun 2016, 2018, 2019 hingga 2021.

Dia didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan yang mempunyai pendapatan bercukai RM807,431 yang boleh dikenakan cukai bernilai RM129,841.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 112 (1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang boleh dihukum di bawah akta sama.

Jika sabit kesalahan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya dan hendaklah membayar penalti khas tiga kali ganda amaun cukai yang sepatutnya dikenakan, jika didapati bersalah.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh pegawai Pendakwa LHDN, Mohamad Nor Halim Kamesan.

Majistret menetapkan 3 Disember sebagai tarikh sebutan semula bagi pertuduhan dihadapi Lua manakala 28 November depan bagi kes membabitkan Syed Azhar.

Loading...
Terkini