comscore
Tumpuan :
Mahkamah

29 Disember ditetap bagi dapatkan status alasan penghakiman kes rasuah Bung Moktar, Zizie Izette

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan menetapkan pada 29 Disember ini bagi pengurusan kes untuk mendapatkan status terkini rekod rayuan dan alasan penghakiman Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya daripada tiga tuduhan rasuah.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry ketika dihubungi media berkata, Timbalan Pendaftar Muhammad Noor Firdaus Rosli menetapkan tarikh itu kerana beliau dimaklumkan oleh timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi bahawa dokumen berkenaan sedang disiapkan.

Dalam prosiding pengurusan kes rayuan itu hari ini, peguam Sagana Kaliyapan mewakili Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad yang turut menyebut bagi pihak Bung Moktar.

Pendakwaan memfailkan notis rayuannya pada 15 September lalu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 September lalu, yang melepas dan membebaskan Bung Moktar dan Zizie Izette selepas membenarkan permohonan pasangan itu menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tuduhan rasuah berkenaan.

Menurut Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid, mahkamah mendapati adalah sesuai dan wajar untuk melaksanakan kuasa semakan mengikut Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dalam kes itu.

Pasangan terbabit diperintahkan Mahkamah Sesyen untuk membela diri pada 2 September tahun lalu, danmereka memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan berkenaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu selepas membenarkan bantahan awal pendakwaan.

Bung Moktar dan Zizie Izette kemudian memfailkan rayuan pada 7 Julai lalu, di mana mereka berjaya dalam rayuan terbabit dan Mahkamah Rayuan mengembalikan permohonan semakan ke Mahkamah Tinggi supaya merit permohonan didengar.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA didakwa dengan dua tuduhanmenerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan agensi itu untuk melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima suapan daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara jam 12.30 tengah hari dan jam 5 petang pada 12 Jun 2015.

Bung Moktar turut didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar menerusi nama Zizie Izette atas sebab dan tempat yang sama pada 19 Jun 2015, manakala Zizie Izette pula didakwa dengan tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama di tempat, tarikh dan masa yang sama.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini