comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] 3 bookie Piala Dunia didenda RM7,300

 

 

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Tiga bookie didenda RM7,300 di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, di sini hari ini selepas mengaku salah atas tuduhan membuat pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2022 pertengahan bulan lalu.

Ketiga-tiga tertuduh, Richard Danker, 54, Linus Hilary Pinto, 60, dan Lim Soon Boon, 34, membuat pengakuan itu sejurus kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Majistret Sharda Shienha memerintahkan kesemua tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Richard dan Linus, masing-masing bekerja sebagai nelayan dan penganggur didapati bersalah membuat pertaruhan bola sepak Piala Dunia FIFA Qatar 2022 secara atas talian dengan menggunakan telefon bimbit bernilai RM150,250.

Kesalahan itu dilakukan di Medan Portugis, Kampung Portugis pada jam 4 dan 4.10 pagi, 14 Disember tahun lalu.

Soon Boon pula yang juga pekerja restoran didapati bersalah melakukan kesalahan sama berjumlah RM75,000 di tepi Jalan Daranjo, Kampung Portugis, Melaka pada jam 6.40 petang, 10 Disember tahun lalu.

Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 6 (1) Akta Pertaruhan 1953.

Sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, ketiga-tiga tertuduh dicekup di dalam Ops Soga oleh sepasukan anggota polis daripada Cawangan D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Kampung Portugis pada 10 dan 14 Disember bulan lalu.

Pemeriksaan polis mendapati ketiga-tiga tertuduh menggunakan aplikasi Chrome di telefon bimbit masing-masing untuk menjalankan kegiatan catit taruh tanpa lesen yang sah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fikri Hakim Zamri manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam penghakimannya, Majistret Sharda Shiena menetapkan Richard didenda sebanyak RM2,500 manakala Linus dan Soon Boon masing-masing didenda RM2,400.

Loading...
Terkini