comscore
Tumpuan :
Mahkamah

7 individu mengaku bersalah cederakan pasukan lawan dalam insiden Liga TFL

KUALA TERENGGANU: Tujuh individu termasuk seorang penjawat awam mengaku salah di Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu atas dakwaan mencederakan pasukan lawan ketika perlawanan Liga Bolasepak Terengganu (TFL) pada Januari lalu.

Tertuduh, Wan Muhamad Aidid Ghazali, Ahmad Zaim Zahirulhaq Roslan, Muhamad Supian Al Shaari, Tuan Faiz Hakimie Tuan Rosli, Mohd Hazwani Ab Karim, Ahmad Najmie Adnan, dan Mohd Zulkifli Abdullah, masing-masing berusia 22 hingga 36 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di padang sintetik Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, di Kuala Nerus jam 11 pagi pada 12 Januari lalu.

Kesemua mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri dan Noor Mazrinie Mahmood.

Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Supian dan Mohd Zulkifli, masing-masing berdepan dengan tiga dan dua pertuduhan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Ronny Irwan Husni @ Abdul Rahman, 46; Muhammad Zarif Adib Chek Azman, 18 dan Muhammad Alauddin Roslan, 19.

Mahkamah memutuskan tertuduh didenda RM1,500 bagi setiap pertuduhan dan berdepan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Seorang lagi tertuduh, Ahmad Najmie Adnan, 34, yang merupakan penjawat awam didakwa atas kesalahan yang sama dan didenda RM1,000 atau penjara selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Empat lagi tertuduh masing-masing berdepan satu pertuduhan dan menerima hukuman denda RM1,500 atau penjara dua bulan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini