comscore
Tumpuan :
Mahkamah

“Adalah adil kepada Rosmah dan mahkamah supaya bicara hari ini diteruskan” – Hakim

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan bagi menangguhkan perbicaraan kes membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor atas 17 tuduhan pengubahan wang haram RM7.1 juta dan pengelakan cukai.

Keputusan berkenaan dibuat oleh Hakim K Muniandy selepas mendapati kes itu tertangguh sejak 2018.

“Adalah adil kepada tertuduh (Rosmah) dan mahkamah supaya bicara hari ini diteruskan, pertuduhan akan dibacakan kembali,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, berkata pihaknya memerlukan masa antara dua hingga tiga bulan untuk meneliti surat representasi kedua difailkan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu.

Beliau berkata, pihak pembelaan Rosmah membangkitkan beberapa perkara termasuk senarai penama baharu dalam surat representasi kedua.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon supaya perbicaraan kes Rosmah yang sepatutnya bermula hari ini ditangguhkan ke satu tarikh lain.

“Pendakwaan menerima surat representasi (pertama) daripada tertuduh (Rosmah) menerusi peguamnya bertarikh 3 Mei 2023 dan mengikut surat itu, beberapa tindakan siasatan perlu diambil untuk mengesahkan fakta ditimbulkan.

“Kami kemudian menerima satu lagi surat representasi bertarikh 18 Ogos 2023 yang menimbulkan perkara baharu yang turut perlu diteliti.

“Mengambil kira situasi ini, kami rendah diri memohon kebenaran mahkamah untuk memberi lebih banyak masa untuk siasatan penuh atas perkara dalam dua representasi berkenaan supaya ada keputusan sebelum bicara bermula.

“Jika bicara bermula, situasinya akan berubah. Secara logik dengan perkara yang perlu diselesaikan mengikut apa yang ditimbulkan dalam surat itu, saya fikir perlu dua hingga tiga bulan (keputusan representasi) sebab ada nama lain dibangkitkan, kita perlu mencari penama ini dan ada daripadanya berada di luar negara,” katanya.

Sementara itu, peguam bela Rosmah, Datuk Geethan Ram Vincent, bersetuju supaya perbicaraan anak guam ditangguhkan bagi memberi masa supaya representasi dipertimbangkan dengan betul.

“Saya hargai pendakwaan tidak tergesa-gesa untuk menolak representasi, tetapi sedang mempertimbangkan fakta ditimbulkan.

“Isu dibangkitkan akan menjadi asas kepada pihak pembelaan yang menjurus kepada pertuduhan.

“Maka, kita meminta pendakwaan mempertimbangkan representasi berkaitan fakta dibangkitkan, nama yang diberikan,” katanya.

Pada 23 Mac lalu, pendakwaan memaklumkan 13 saksi bakal dipanggil untuk memberi keterangan terhadap Rosmah.

Rosmah didakwa di Mahkamah Sesyen pada 4 Oktober 2018, sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Beliau berdepan 12 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017.

Pada 1 September 2022, Hakim Mohamed Zaini Mazlan, mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Hakim itu juga memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda berkenaan, namun membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Loading...
Terkini