comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Mahkamah benarkan Rosmah dapat pasport lawat anak mengandung di Singapura

Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir di mahkamah bagi pendengaran permohonan pasport antarabangsanya di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. Foto : NSTP

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk kali keempat bagi mendapatkan sementara pasportnya ke Singapura bertujuan melawat ahli keluarga termasuk anak yang sedang mengandung.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismailyang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin.

Terdahulu, peguam bela Rosmah, Datuk Jagjit Singh memohon pasport itu bagi membolehkan anak guam yang juga isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke republik berkenaan dari esok hingga 23 Ogos, 26 Ogos hingga 6 September dan 9 September hingga 31 Oktober ini.

“Nooryana Najwa (anak sulung Rosmah) akan melahirkan anak ketiga dalam masa terdekat. Difahamkan pendakwaan tidak membantah permohonan ini,” katanya.

Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn, mengesahkan tidak membantah permohonan berkenaan.

Nooryana Najwa berkahwin dengan warga Kazakhstan bernama Daniyar Kessikbayev dan mereka kini menetap di Singapura.

Media melaporkan notis usul permohonan itu difailkan menerusi Tetuan Akberdin & Co di Mahkamah Rayuan, Jumaat lalu.

Notis berkenaan antara lain menyatakan alasan pergi ke negara itu untuk melawat ahli keluarga termasuk Nooryana Najwa yang dijangka bersalin pada 28 Ogos ini.

Dalam permohonan ketiga yang dibuat melalui notis usul bertarikh 2 Jun lalu, isteri Najib itu memohon mendapatkan sementara dokumen perjalanan berkenaan untuk ke Singapura, selama empat minggu dari 6 Jun sehingga 7 Julai lalu.

Rosmah sebelum ini dibenarkan untuk mendapatkan sementara pasportnya pada 15 Oktober 2021 bagi melawat Nooryana Najwa yang bersalin anak kedua dan kali kedua pada 21 Mac lalu, juga untuk melawat Nooryana Najwa dan cucu lelakinya yang tidak sihat.

Rosmah merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 1 September tahun lalu, yang mendapati beliau bersalah atas tiga tuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak sebelum menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Hakim, Mohamed Zaini Mazlan, memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu, namun membenarkan permohonan untuk menangguhkan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuan yang akan didengar di Mahkamah Rayuan.

Artikel berkaitan : Rosmah mohon pasport kali keempat, lawat anak bakal bersalin di Singapura

Loading...
Terkini