comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Anggota tentera didakwa cabul pekerja ibu mertua

FOTO: NSTP

TAWAU: Seorang anggota tentera Muhammad Afiq Ikhwan Mohamad Zukhi, 23,  yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini mengaku tidak bersalah, di atas pertuduhan mencabul kehormatan pekerja ibu mentuanya dalam kejadian di sebuah taman perumahan di sini pada Mei lalu.

Mengikut pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret, Dayang Aidaku Amira Aminuddin, lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi maksud mencabul kehormatan wanita berumur 21 tahun, di Taman Megah Jaya, di sini, pada jam 5.00 pagi, 3 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintenden Jeffrey Kadisun, mencadangkan jaminan RM10,000 dengan dua orang penjamin tempatan berserta syarat tambahan dilarang mengganggu saksi dan tertuduh dikehendaki melaporkan diri kepada pegawai penyiasat kes sebulan sekali sehingga kes selesai.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Jhassery P. Khang, yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak yang kasih kecil.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan dua orang penjamin selain syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan serta menetapkan 4 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Mengikut laporan, mangsa yang juga pekerja kepada ibu mentua tertuduh di kantin sebuah kem tentera di sini dan ketika kejadian tertuduh dikatakan memasuki bilik mangsa yang sedang tidur sebelum mencabul kehormatan wanita itu.

Bagaimanapun, kejadian itu disedari isteri serta ibu mentuanya dan tertuduh ditangkap kira-kira jam 2 petang pada hari sama susulan laporan dibuat mangsa.

Loading...
Terkini