comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Askar didakwa cabul kehormatan kenalan wanita

Foto hiasan

AYER KEROH: Seorang anggota tentera berpangkat koperal berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun apabila dituduh atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang remaja perempuan tahun lalu.

Pertuduhan dibuat di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Mohamad Zuhaimi Mat Saad, 44, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Zuhaimi didakwa dengan sengaja mencabul kehormatan seorang perempuan berusia 19 tahun di dalam sebuah kereta di parkir kereta berdekatan sebuah kedai menjual ayam di Cheng, dekat sini, pada 17 Mei 2023 lalu kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Hukuman bagi pertuduhan mengikut seksyen terbabit ialah tertuduh boleh dikenakan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau pun dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin memohon tarikh sebutan baharu serta mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Izzuddin Ab Malek memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan tertuduh yang juga duda anak dua masih bertugas dan kini tinggal di Kem Sungai Udang.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan selesai dan kes ditetapkan untuk sebutan pada 29 Julai depan untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini