comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bapa dan anak direman bantu siasatan kes salah guna jawatan

FOTO: NSTP

IPOH: Seorang bapa dan anak lelakinya direman bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penyalahgunaan jawatan, berhubung pelantikan untuk pemberian kerja pengusahasilan hutan simpan berjumlah RM700,000.

Perintah reman selama enam hari sehingga 31 Mac depan terhadap dua beranak berusia 68 dan 46 tahun itu dibenarkan oleh Majistret ‘Atifah Hazimah Wahab.

Terdahulu, mereka dibawa menaiki van Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba berpakaian lokap SPRM di Kompleks Bangunan Mahkamah Tinggi Ipoh, di sini, kira-kira jam 10.20 pagi.

Bapa yang juga Pengerusi pertubuhan koperasi serta anaknya selaku Pegawai Khas Projek koperasi didakwa menggunakan jawatan mereka untuk mempengaruhi Ahli-Ahli Lembaga koperasi bagi memilih syarikat yang dimiliki si anak.

Ia bagi kerja-kerja pengusahasilan hutan di Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Perak dengan nilai pelaburan berjumlah RM700,000 daripada sebuah koperasi.

Sebelum itu, mereka ditahan ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Perak, Meru Raya, kelmarin.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Ahmad Sabri Mohamed ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini