comscore
Tumpuan :
Nasional

Daim nafi perbuatan salah laku, rasuah

PETALING JAYA: Tun Daim Zainuddin menafikan sebarang perbuatan rasuah atau salah laku dalam apa jua bentuk oleh beliau atau keluarganya.

Dalam satu kenyataan, beliau turut menyifatkan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai berniat jahat.

Menurut Daim, sehingga hari ini beliau tidak dimaklumkan oleh SPRM tentang kesalahan yang didakwa dilakukannya.

”Namun, terdapat usaha terancang untuk memburukkan saya dengan mengeluarkan maklumat salah dan tanggapan tidak berasas terhadap saya,” katanya.

Daim berkata, beliau memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dan kerap berkomunikasi dengan agensi itu melalui peguam.

”Oleh itu, adalah salah nyata bagi “sumber” SPRM untuk mendakwa bahawa saya tidak membuat pendedahan yang betul mengenai butiran kewangan yang dituntut oleh SPRM.

”Saya mengulangi bahawa semua yang diminta secara bertulis oleh SPRM telah didedahkan dan mengikut undang-undang,” katanya lagi.

Daim turut mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didakwa mengeluarkan kenyataan tanpa asas berhubung siasatan itu untuk memburukkan kredibilitinya.

Beliau berkata, tindakan sesuai akan diambil atas perkara itu selepas berbincang dengan peguamnya.

SPRM sebelum ini menyita Menara Ilham di Jalan Binjai Kuala Lumpur yang dilaporkan dimiliki Daim dan keluarganya.

Bangunan 60 tingkat itu disita mengikut Akta SPRM 2009, berhubung siasatan SPRM terhadap bekas menteri kewangan itu.

Beberapa media sebelum ini memetik Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebagai mengesahkan agensi itu menyiasat Daim berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

Beliau tidak mengulas lanjut perincian siasatan kes.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini