comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Bekas tentera didakwa 17 pertuduhan cabul, cedera rekrut lelaki

MELAKA: Bekas anggota tentera berpangkat koperal didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas 17 pertuduhan termasuk 15 kesalahan mencabul seorang rekrut lelaki di Kem Terendak, tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Amanah Habhijullah, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan minta dibicarakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-15, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seorang prebet berusia 20 tahun.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Bujang, Tingkat 2, Villa Kesatria 73, Batalion Ordinans Diraja, Kem Terendak, Sungai Udang, dekat sini, pada tarikh dan masa berbeza antara 25 Ogos 2023 sekitar jam 12 tengah malam hingga 14 Oktober 2023, jam 6 pagi.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ke-16 dan 17, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan terhadap mangsa sama di tempat sama pada 15 Oktober 2023, jam 2 pagi dan pada 16 Oktober 2023, jam 3 petang.

Jika disabitkan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada tarikh dan masa berbeza antara 25 Ogos hingga 16 Oktober 2023.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin menawarkan jaminan keseluruhan RM134,000 iaitu RM8,000 bagi setiap pertuduhan Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan RM7,000 bagi pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Peguam S. Daniel bagaimanapun merayu jaminan rendah atas alasan anak guamnya kini dalam proses pemberhentian kerja dan hanya menggunakan wang simpanan untuk meneruskan kehidupan.

Katanya, tertuduh juga menanggung ibu bapa yang uzur dan sakit, selain mendakwa pertuduhan itu disebabkan pengadu dalam kes itu tidak berpuas hati terhadap tertuduh ketika di kem.

“Saya percaya pengadu adalah rekrut baharu dan tertuduh adalah jurulatih yang bertindak tegas atas kapasitinya.

“Pertuduhan ini kerana pengadu tidak berpuas hati terhadap tindakan tertuduh,” katanya.

Peguam juga menegaskan, anak guamnya memberikan kerjasama penuh kepada polis sepanjang siasatan kes dan memohon jaminan serendah mungkin, dengan bapa tertuduh sedia menjaminnya.

Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan jaminan keseluruhan RM12,000 bagi semua pertuduhan dengan dua penjamin tempatan bermastautin di Melaka.

Tertuduh juga perlu melapor diri di balai polis berhampiran sekali sebulan serta dilarang menghubungi atau mengganggu mangsa menggunakan sebarang medium sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 April depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini