comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Bicara Pengarah Hydroshoppe tawar RM500,000 kepada Annuar Musa bermula 15 September

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 15 hari bermula 10 September ini bagi perbicaraan kes Pengarah Syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh atas pertuduhan menawarkan suapan RM500,000 setahun kepada Tan Sri Annuar Musa berhubung proses pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur.

Hakim Suzana Hussin menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan bahawa pihaknya sudah berbincang dengan pasukan pembelaan dan kedua-dua pihak bersetuju dengan tarikh perbicaraan itu.

“Mahkamah juga menetapkan tarikh sebutan kes pada 16 Ogos untuk serahan dokumen berkaitan kes itu,” katanya.

Tarikh-tarikh yang ditetapkan bagi perbicaraan itu ialah pada 10 dan 11 September, 29 dan 30 Oktober, 6 dan 7 November manakala Disember pada 4 dan 5 serta 9 hingga 12 dan 7 hingga 9 Januari 2025.

Pada 5 April tahun lalu, Abdul Hamid Shaikh didakwa menawarkan suapan menerusi Datuk Tan Ser Lay, 60, sebagai dorongan kepada Annuar yang ketika itu Menteri Komunikasi dan Multimedia untuk mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat berkenaan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya antara Julai dan Ogos 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(6)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, Hydroshoppe juga didakwa atas pertuduhan sebagai organisasi komersial melakukan kesalahan bersekutu dengan tertuduh, menawarkan suapan itu kepada Tan, bagi faedah Annuar dengan niat yang sama, di lokasi dan pada tarikh serupa.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17A(1)(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 17A(2) akta sama.

Sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana lebih tinggi, atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini