comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Buruh Rohingya dipenjara 5 tahun, belasah isteri disyaki curang guna getah paip

Foto hiasan

MELAKA: Lelaki etnik Rohingya dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas kesalahan mencederakan isterinya menggunakan getah paip kerana mengesyakinya curang.

Hakim Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Abdullah, 31, berstatus pemegang kad UNHCR yang mengaku bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, dia yang bekerja sebagai buruh binaan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan memukul muka, badan dan kaki isterinya, Setara Bibi Nor Hussin, 31, dengan sebatang getah paip plastik di sebuah rumah di Taman Seri Indah, Tengkera, dalam daerah Melaka Tengah pada 24 Disember lalu, jam 1 pagi.

Dia dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, jika disabitkan boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman itu.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, pengadu seorang suri rumah dan pemegang kad pelarian UNHCR, disoal dan dimarahi suaminya (tertuduh) berkaitan gambar dan video lucah di Facebook yang didakwa milik wanita itu, namun dinafikannya.

Tertuduh yang tidak berpuas hati terus menuduh individu dalam rakaman itu adalah isteri dan adik lelakinya yang sudah berkahwin dan mereka mempunyai hubungan sulit.

Disebabkan pengadu masih tidak mengaku, tertuduh memukulnya menggunakan getah paip di muka, badan dan kaki dan kejadian itu bukanlah kali pertama, namun mangsa tidak pernah membuat laporan.

Akibat dipukul, mangsa mengalami bengkak pada mata sebelah kiri serta lebam dan bengkak di belakang badan serta pada paha kiri dan kanan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini