comscore
Tumpuan :
Mahkamah

CEO antara tiga individu ditahan SPRM berkaitan rasuah

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga individu termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah perbadanan berkaitan kerajaan kerana disyaki meminta dan menerima suapan berjumlah kira-kira RM600,000.

Suapan itu disyaki diterima bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan tender berkaitan kerja menaiktaraf sistem mekanikal dan elektrikal yang merupakan sebahagian daripada projek berjumlah lebih RM15 juta untuk menaiktaraf bangunan ibupejabat di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

“Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki berusia dalam lingkungan 39 hingga 54 tahun itu dipercayai ditahan di ibu pejabat SPRM kira-kira jam 8 malam ketika hadir untuk memberikan keterangan semalam.”

“Sumber berkata, suspek pertama yang juga Ketua Pegawai Eksekutif berusia 52 tahun itu dipercayai menerima suapan berjumlah kira-kira RM600,000 daripada sebuah syarikat melalui suspek kedua dan ketiga sebagai upah membantu syarikat tersebut mendapatkan projek kerja-kerja menaiktaraf sistem mekanikal dan elektrikal di bangunan terbabit,” kata SPRM dalam kenyataan hari ini.

Ketiga-tiga suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk tujuan permohonan reman dan Majistret Irza Zulaikha mengeluarkan perintah reman selama empat hari bermula hari ini hingga 10 April 2023 selepas pihak SPRM membuat permohonan tersebut pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata ketiga-tiga suspek disiasat di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009.

Loading...
Terkini