comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Dua pengasas produk kosmetik didakwa cederakan dua individu

NUR Farhana (kiri) dan Anes Ayunie didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan mencederakan dua individu Julai lalu. – FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Lima individu termasuk dua wanita yang juga pengasas produk kosmetik didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, terhadap tuduhan mencederakan seorang wanita dan lelaki, Julai lalu.

Bagaimanapun mereka yang juga orang kena saman (OKS), Nur Farhana Ismail, 32, Anes Ayunie Osman, 21, Muhammad Hakimi Mohd Azmi, 33, Ahmad Weldan Zulkefli, 22, dan Muhammad Firdaus Alias, 21, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama mencederakan An Nur Amani Nazifa Anuar, 19, sehingga menyebabkan kecederaan di kepala, tangan dan leher serta Mohamad Nurhisyam Afandi Mahadi, 30, menyebabkan cedera di tangan, kaki dan lutut sebelah kiri.

Perbuatan itu dilakukan di hadapan sebuah kedai di Jalan Padang Garong di sini, jam 3 pagi pada 9 Julai 2022.

Pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan dan tertuduh diwakili peguam, Ahmad Adha Amir Yasser Amri.

Terdahulu, Siti Edabayu menawarkan jumlah jaminan sebanyak RM5,000 seorang kepada mereka.

Ahmad Adha pula memohon supaya mahkamah membenarkan anak guamnya diberi jaminan yang rendah dan jumlah jaminan RM5,000 sangat tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM2,000 seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Julai lalu, media melaporkan polis menahan dua wanita yang juga pengasas produk kosmetik selepas dipercayai menyerang dan memukul seorang peniaga di sebuah premis perniagaan di Jalan Padang Garong di sini.

Loading...
Terkini