comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Dua remaja sebabkan kematian rakan, dihukum cuci tandas enam bulan

Mayat Muhammad Damin ditemukan meninggal dunia dalam tandas awam yang terbakar di, Bandar Puncak Alam Fasa 3, 28 Ogos tahun lalu – Foto: NSTP

KUALA SELANGOR: Mahkamah Majistret Kuala Selangor hari ini memerintahkan dua remaja yang membakar sebuah tandas awam di Bandar Puncak Alam Fasa 3 hingga menyebabkan kematian rakan mereka, mencuci tandas dalam tempoh enam bulan.

Majistret Siti Hajar Ali menjatuhkan hukuman bersifat khidmat masyarakat selama 100 jam itu, selepas kedua-dua tertuduh lelaki masing-masing berusia 16 tahun, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mereka.

Mahkamah turut memerintahkan bon berkelakuan baik sebanyak RM1,000 untuk setiap seorang selama dua tahun, selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, dalam tempoh sama.

“Kamu tidak boleh keluar rumah sendirian bermula jam 8 malam hingga 6 pagi kecuali ditemani ibu bapa masing-masing selain kena hadir bengkel yang dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua remaja lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan api dan menyebabkan kebinasaan kepada tandas awam gelanggang futsal, Jalan Cakera Purnama, Fasa 3 Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor kira-kira jam 2.47 petang, 28 Ogos tahun lalu.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Pada masa sama, semasa prosiding berlangsung, JKM yang mengemukakan laporan akhlak kedua-dua tertuduh selain mengemukakan dua syor termasuk berkelakuan baik.

Dua penasihat awam termasuk seorang guru juga memberikan penyataan dalam galeri mahkamah, turut menegur perbuatan kedua-dua remaja lelaki itu yang membinasakan harta awam.

“Ini juga memberikan kesan kepada keluarga mangsa. (Kedua-duanya) perlu muhasabah diri,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan tindakan dua remaja bermain api mengundang padah, apabila seorang rakan mereka maut selepas terperangkap di dalam tandas awam di Bandar Puncak Alam Fasa 3, pada 28 Ogos tahun lalu.

Mangsa, Muhammad Damin Mikhail Kamsol yang berusia 16 tahun ditemukan rentung selepas kebakaran tandas itu dipadamkan pihak bomba.

Loading...
Terkini