comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Enam Remaja 15 Tahun Antara Didakwa Rogol Pelajar Bawah Umur

BACHOK: Enam remaja lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, manakala dua lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan merogol seorang pelajar Tingkatan Dua dalam kejadian di Tawang di sini, antara pertengahan Ogos hingga September lepas.

Kesemua enam remaja yang berusia 15 tahun itu mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa merogol mangsa berusia 14 tahun itu di sebuah bilik di kedai makan di Jelawat di sini antara 12.30 tengah malam hingga 2.30 pagi pada pertengahan Ogos hingga September.

Kesemua remaja itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Setiap tertuduh masing-masing didakwa dua hingga tiga pertuduhan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hakimie Ab Hadi dan kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Norizaidah Abdul Salam.

Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan RM2,000 untuk setiap pertuduhan dan menetapkan 13 Dis ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, dua lagi tertuduh berusia 18 tahun yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pula mengaku tidak bersalah merogol mangsa pada tarikh dan lokasi yang sama, di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Hakim Mohd Zul membenarkan seorang daripada tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin manakala seorang lagi tertuduh tidak ditawarkan jaminan.

Mahkamah menetapkan 23 Nov ini sebagai tarikh sebutan semula kes kedua-dua tertuduh itu. – BERNAMA

Loading...
Terkini