comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Guna wang khairat kematian peneroka, Pembantu Tadbir dipenjara 13 bulan, denda RM63,000

Foto hiasan

KUANTAN: Seorang Pembantu Tadbir Felda terpaksa menyambut hari pertama Ramadan di penjara selepas Mahkamah Sesyen, di sini, menjatuhkan hukuman penjara 13 bulan terhadapnya, bermula hari ini.

Tertuduh, Mohd Azlan Bin Jainal, 36, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas 10 pertuduhan menggunakan cek palsu berjumlah RM64,734 dan kesalahan itu dilakukan antara Mac hingga April 2021.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani turut menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM68,500 untuk semua pertuduhan terbabit selain mengenakan hukuman penjara berjumlah 29 bulan jika tertuduh gagal membayar semua denda berkenaan.

Menurut fakta kes, tertuduh yang sebelum ini pernah bertugas di Felda Jengka 12 Melor, Maran, telah mengeluarkan 10 keping cek atas namanya sedangkan catatan pada kaki cek yang dibuat oleh tertuduh adalah nama peneroka yang telah meninggal dunia bagi tujuan bayaran khairat kematian.

Dalam masa sama, Pengurus dan Penyelia Felda terbabit turut mengesahkan mereka tidak pernah menandatangani kesemua cek berkenaan.

Dalam prosiding rayuan, tertuduh merayu dikenakan hukuman ringan berikutan mempunyai lima tanggungan iaitu isteri dan empat anak manakala isterinya tidak bekerja.

Tertuduh juga mendakwa, dia menggunaan wang berkenaan bukan untuk tujuan peribadi sebaliknya untuk membeli peralatan pejabat dan menjayakan program.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Rif’ah ‘Izzati Abdulmeminta mahkamah mengambil kira kekerapan dan keseriusan kesalahan yang dilakukan tertuduh dalam menjatuhkan hukuman.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman antara lapan bulan hingga 13 bulan penjara yang berjalan serentak selain mengenakan denda antara RM5,000 hingga RM7,500 bagi setiap 10 pertuduhan berkenaan.

Loading...
Terkini