comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Isu Perbualan BBM antara Jho Low dan saksi jadi intipati perbicaraan kes pendakwaan kes penyelewengan dana 1MDB

Saksi pendakwaan kes penyelewengan dana 1MDB yang dihadapi Najib, Joanna Yu Ging Ping ketika hadir sambung bicara hari ini. – Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Saksi pendakwaan hari ini menegaskan bahawa tindakannya berhubung dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low pada awal pagi bagi menguruskan akaun bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak adalah bukan untuk faedah dirinya.

Sebaliknya, bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping, berkata salah satu perbualan dengan Jho Low iaitu pada jam 1 pagi 21 Ogos 2014 melalui pesanan Blackberry (BBM) adalah berhubung pembayaran RM5 juta kepada parti UMNO.

Apabila disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib ketika sesi pemeriksaan semula, saksi ke-41 pendakwaan itu berkata perbualan dengan Jho Low bagi menguruskan cek daripada akaun Najib itu adalah untuk faedah parti berkenaan.

Ahmad Akram: Perbualan sepanjang malam itu mengenai apa?

Ging Ping: Dia (Jho Low) beritahu sekitar jam 1 pagi, ada cek RM5 juta untuk UMNO. Saya kata cukup (baki dalam akaun) untuk dimasukkan esok. Itu saja.

Ahmad Akram: Wang itu untuk dibayar kepada UMNO? Untuk faedah siapa? Ging Ping: Untuk UMNO

Ahmad Akram: Ia bukan untuk faedah kamu dan Jho Low?

Ging Ping: Bukan, untuk pastikan supaya cek tidak tendang

Soalan yang diajukan Ahmad Akram adalah susulan soalan balas terdahulu daripada peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang merujuk perbualan BBM antara saksi dan Jho Low.

Muhammad Shafee berkata, adalah agak pelik bagi Ging Ping untuk berjaga hingga awal pagi untuk menjawab pesanan BBM dan menerima arahan daripada Jho Low sebelum tidur dan bersambung pada keesokan pada jam 5 pagi.

 

Najib Razak diiringi pegawai keselamatan Penjara hadir ke mahkamah bagi sambung bicara kes penyelewengan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – Foto NSTP

Peguam itu mencadangkan semua tindakan saksi itu menunjukkan bahawa beliau rapat dengan Jho Low dan ia satu hubungan tidak wajar di antara seorang pegawai bank dan pihak ketiga yang tidak diberi mandat menguruskan akaun Najib.

Ging Ping bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan itu.

Saksi itu memberikan keterangan terhadap Najib, 70 yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Muhammad Shafee seterusnya menyoal saksi berhubung pertemuannya dengan Jho Low di apartmen ahli perniagaan itu di Jalan Kia Peng bersama beberapa pegawai lain termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC Sdn Bhd Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB Azmi Tahir.

Muhammad Shafee: Ia tempat di mana kamu menjalankan urusan?

Ging Ping: Ya terutamanya bila ada dokumen mustahak perlu ditandatangani.

Muhammad Shafee: Adakah kamu sudah berkahwin ketika itu?

Ging Ping: Ya

Muhammad Shafee: Suami kamu tidak kisah?

Ging Ping: Saya bekerja.

Muhammad Shafee: Semua orang yang ada hubungan juga berkata mereka bekerja

Timbalan Pendakwa Raya Deepa Nair Thevaharan membantah soalan itu dan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian mengarahkan supaya peguam tidak bertanyakan soalan lanjut

Ging Ping kemudian menjawab, beliau tidak pernah bersendirian dengan Jho Low di apartmen mewahnya dan hanya berada di sana atas urusan kerja.

Disoal sama ada dalam pertemuan itu sentiasa ada orang lain, saksi menjawab, ‘Ya.’

Ketika disoal semula oleh Akram, Ging Ping menegaskan pertemuan di apartmen berkenaan bukan bagi tujuan peribadi sebaliknya membincangkan mengenai projek Jho Low dan projek 1MDB. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini