comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Juruukur bahan mengaku tidak bersalah terima wang dan motosikal

KUALA TERENGGANU: Seorang juruukur bahan kanan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima rasuah wang tunai dan motosikal.

Tertuduh, Malike Mohamed, 52, membuat pengakuan itu selepas sembilan pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga lapan, dia didakwa telah menerima suapan iaitu wang tunai berjumlah RM14,500 melalui akaun Bank Islam daripada Azman Yusof sebagai dorongan melakukan perbuatan berhubungan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh.

Perkara itu bagi melancarkan proses tuntutan bayaran interim yang dibuat oleh syarikat AMZ Sepakat Sdn Bhd kepada pihak UniSZA.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Bank Islam di Kuala Terengganu antara 15 Mei 2019 sehingga 6 Julai 2020.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama iaitu penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang tinggi jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kesembilan, dia didakwa telah menerima sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang mana tertuduh mengetahui Azman ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya sendiri dan didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Mengabang Tengah, Kuala Terengganu pada Ogos 2019.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau didenda atau kedua-keduanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob dan Pegawai Pendakwa Nur Raihan Mohd Yusof, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu serahan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 10 Mac depan untuk sebutan semula kes dan urus dokumen bagi perbicaraan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini