comscore
Tumpuan :
Nasional

UniSZA siap siaga hadapi banjir di kampus

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi bencana banjir susulan musim tengkujuh yang mula melanda ketika ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Ts. Dr. Shukor bin Abd Razak berkata, UniSZA telah menggerakkan Jawatankuasa Task Force Banjir untuk menjaga kebajikan dan keselamatan pelajar di dalam kampus mahupun luar kampus sekiranya terjejas banjir.

“UniSZA akan bertindak pantas membantu memindahkan pelajar yang terlibat banjir ke asrama yang telah disediakan di kampus Gong Badak, di sini dan di Tembila, Besut, bermula hari ini.

“Kita juga telah bersedia dari segi logistik seperti lori, bot dan kenderaan berat serta bekalan makanan yang cukup sekiranya berlaku bencana banjir”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, setakat ini tiada lagi laporan banjir oleh pelajar diterima dan keadaan di kedua-dua kampus masih dalam keadaan baik.

“Pihak UniSZA telah membuat hebahan kepada semua pelajar di dalam mahupun luar kampus untuk melaporkan dan memberi maklumat segera sekiranya berhadapan dengan situasi banjir”

“UniSZA juga sentiasa memantau perkembangan banjir di sekitar kawasan kampus kerana masih ramai pelajar yang menyewa di luar dan kita bimbang mereka terjejas bencana itu,” katanya.

Antara kawasan yang selalu terlibat ialah Taman Murni Permai Tok Jembal, Taman Tanjung Permata dan beberapa taman perumahan di sekitar kawasan tersebut.

Tambahnya, UniSZA akan bergerak secara proaktif dalam menyampaikan bantuan berupa makanan kepada warga UniSZA yang telah terjejas akibat banjir.

“Selain daripada bantuan makanan kering diberikan kepada para pelajar, sukarelawan dan petugas jawatankuasa tersebut yang terdiri daripada staf dan pelajar juga akan berganding bahu memasak nasi dan lauk untuk diagihkan kepada semua pelajar sekiranya menjadi mangsa banjir di dua kampus itu,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini