comscore
Tumpuan :
Nasional

Khabar duka 15 minit sebelum terima skrol

FOTO: NSTP

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KUALA NERUS: Kegembiraan seorang graduan untuk menerima skrol di majlis konvokesyen bertukar hiba, apabila mendapat berita kematian bapa tercinta 15 minit sebelum naik ke pentas.

Haslina Kalang, 23, menerima panggilan dari jirannya di Tawau, Sabah memaklumkan bahawa bapanya, Kalang Tona, 56, meninggal dunia pada jam 10.30 pagi, sewaktu dia berada dalam Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA ke-15, hari ini.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa (dengan Kepujian), ketika ditemui berkata, dia sememangnya berat hati untuk hadir ke konvokesyen hari ini kerana risau dengan bapanya yang mempunyai sakit strok.

“Ayah suruh saya datang jugak konvokesyen dan dia nak saya naik ke pentas menerima ijazah.

“Saya tak sangka ayah pergi dulu sebelum saya naik ke pentas. Bagaimanapun saya kuat untuk naik juga sekejap menerima skrol,” katanya yang merupakan anak kedua daripada lima beradik.

Haslina berkata, selepas tamat belajar dia menjaga ayahnya sepenuh masa dan belum bekerja di mana-mana tempat.

“Alhamdulillah, saya dapat berbakti kepada ayah dan saya reda dengan pemergian dia di hari konvokesyen saya hari ini,” katanya.

Haslina tiba di Terengganu dua hari lepas dan ditemani kakak sulungnya yang datang dari Johor untuk hadir ke majlis konvokesyen hari ini.

Sementara itu, pihak UniSZA telah menyampaikan sumbangan wang tunai RM 2,500 kepada Haslina untuk membeli tiket penerbangan pulang ke Tawau, Sabah, hari ini.

Haslina sepatutnya pulang esok ke kampung halaman sebaik sahaja selesai majlis konvokesyen hari ini.

Loading...
Terkini